Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) secara percuma selama tiga hari bermula semalam digunakan sepenuhnya bukan saja oleh penumpang tetap malah pelancong dalam dan luar negara untuk bersiar-siar di ibu kota dan Selangor.

Tinjauan Harian Metro di beberapa stesen LRT di laluan Kelana Jaya mendapati pergerakan penumpang seperti biasa dan tidak berlaku kesesakan.

Token perjalanan pula disediakan di kaunter khidmat pelanggan yang terdapat di setiap stesen terbabit, malah Prasarana Malaysia Berhad, pengendali perkhidmatan LRT Rapid KL turut meletakkan notis memaklumkan perkhidmatan percuma itu.

Peniaga Nur Mashita Hassan, 36, memuji usaha Rapid KL memberi perkhidmatan secara percuma kepada pelanggan.

“Saya sebenarnya tidak tahu kerana baru datang dari Ipoh, Perak. Sampai di kaunter, saya mahu membeli tiket untuk 10 orang tetapi dimaklumkan tidak perlu bayar.

“Sudah semestinya saya gembira kerana dapat menjimatkan duit tambang dan hasrat anak bongsu untuk menaik kereta api tercapai,” katanya yang membawa lima anak berusia tiga hingga 14 tahun bercuti di ibu negara.

Pembantu tadbir yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman, 28, berkata, perkhidmatan percuma itu membantunya menjimatkan perbelanjaan tambang untuk tiga hari.

Sementara itu, pelancong dari England, John Howard, 45, berkata, dia menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Dengan adanya tren percuma ini, saya yakin pengguna akan lebih memilih menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Azmi Abdul Aziz mengumumkan penumpang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan menikmati tambang percuma sepanjang hari selama tiga hari bermula 13 hingga 15 September.

Katanya, pemberian tambang percuma itu dibuat untuk menghargai kesetiaan selain tanda permohonan maaf kepada penumpang meskipun berdepan isu kelewatan perjalanan pada 7 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:47 AM
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menaiki tren LRT percuma, semalam.