NAJMUDDIN memberi penerangan mengenai laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), merancang membangunkan laluan ketiga Projek MRT Lembah Klang, membabitkan kawasan pusat bandar dan berkemungkinan menjadi laluan bawah tanah sepenuhnya.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, MRT Corp telah melantik perunding bebas untuk mengkaji rancangan itu dan dijangka menyiapkan laporan pertamanya pada suku pertama tahun depan.

“Laluan ketiga MRT ini sedang dalam kajian dan dijangka hasil daripada kajian ini dapat dilihat pada suku pertama tahun hadapan atau suku keempat tahun ini.

“Daripada hasil kajian ini, baru kita dapat kongsikan lebih banyak maklumat yang berkaitan dengan laluan ini,” katanya dalam taklimat media mengenai perkembangan terkini projek MRT Lembah Klang dan Majlis Pecah Tanah MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di sini, semalam.

Beliau berkata, laluan ketiga ini akan berbentuk bulatan dan tidak terlalu panjang yang bakal memberi perkhidmatan di kawasan pusat bandar selain berkemungkinan menjadi laluan bawah tanah sepenuhnya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 58 tren yang diperlukan bagi fasa pertama dan kedua Jajaran Sungai Buloh-Kajang (Jajaran SBK) dijangka tiba secara berperingkat sebelum akhir tahun ini dan bakal menjalani tempoh pengujian secara intensif bermula 1 Oktober ini.

“Bagi fasa pertama Jajaran SBK, sebanyak 24 tren akan digunakan di mana 18 tren akan digunakan untuk operasi harian manakala selebihnya digunakan sebagai tren simpanan pada waktu kecemasan.

“Setakat ini, kami telah menerima lebih daripada 40 tren lebih awal daripada yang dijadualkan dan ia akan melalui proses ‘fitting’ serta ‘setting’ di depot terlebih dahulu seperti pemasangan tempat duduk dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:41 AM