AHLI Masjid Pangkalan Udara TUDM Subang bergotong-royong menumbangkan unta sempena Ibadah Korban di Masjid Al Muhajirin TUDM Subang.
Icka S Hassan
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Masjid Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, melakukan kelainan apabila menyembelih dua ekor unta bersempena Aidiladha, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan pekarangan masjid itu mula dipenuhi lebih 100 penduduk sekitar seawal jam 8 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan melihat proses penyembelihan korban itu.

Ketua program itu Mejar Razailan Rhani berkata, penyembelihan korban unta itu kali pertama dilakukan pihaknya bagi memecah tradisi penyembelihan lembu sebelum ini.

“Sejak unta itu mula ditempatkan di masjid, orang ramai terutama kanak-kanak sudah memenuhi kawasan ini untuk melihat dengan lebih dekat haiwan padang pasir berkenaan.

“Pada program penyembelihan hari ini (semalam), hampir 100 penduduk hadir menyaksikan proses penyembelihan korban kedua-dua unta itu,” katanya ketika ditemui di masjid itu, semalam.

Menurutnya, program itu turut membabitkan penyembelihan sebanyak 15 lembu.

Sementara itu, penduduk, Aiman Hakim Samsir, 15, berkata, dia teruja melihat penyembelihan berkenaan berbanding lembu, kambing dan kerbau sebelum ini.

“Ini kali pertama melihat unta secara lebih dekat dan menyaksikan haiwan itu disembelih. Peluang seumpama ini jarang diperoleh di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:56 AM