KEADAAN Jalan Tun Tan Siew Sin yang dibanjiri warga asing ketika sambutan Aidiladha, semalam.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Lokasi sekitar Leboh Pudu di sini, tidak ubah seperti ‘mini Dhaka’ apabila berpuluh ribu warga asing terutama dari Bangladesh membanjiri kawasan itu semalam.

Kehadiran mereka yang menyambut cuti umum Hari Raya Aidiladha menyebabkan lokasi itu penuh sesak hingga menutup penuh laluan jalan di kawasan berkenaan.

Tinjauan wartawan Harian Metro semalam, mendapati sepanjang laluan 100 meter itu ditenggelami warga asing.

Agar sukar untuk melihat kelibat warga tempatan ketika tinjauan dilakukan kecuali pemandu teksi dan pekerja restoran makanan segera yang bertugas di musim perayaan.

Pekerja restoran segera, Syafiqah Rozali, 22, berkata, suasana sebegitu acap kali dilihat setiap kali cuti umum dan musim perayaan.

Menurutnya, ramai warga tempatan mengelak melalui lokasi itu berikutan rasa kurang senang selain bimbangkan keselamatan diri.

“Rata-rata warga asing yang berkumpul itu lelaki. Ini menyebabkan wanita tempatan berasa tidak selesa apabila diperhatikan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rozali, 45, berkata, kehadiran ramai warga asing itu dianggap ‘lubuk’ rezeki kepadanya ketika musim perayaan.

“Dalam tempoh hanya dua jam sahaja, pendapatan diperoleh sekali ganda berbanding hari biasa saya bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:53 AM