Safar Ahmad
am@hmetro.com.my

Makkah: Lebih 1.4 juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk Malaysia membanjiri kawasan Arafah semalam untuk berwukuf yang menjadi ibadat kemuncak haji.

Waktu wukuf masuk tepat jam 12.18 tengah hari waktu tempatan.

Tinjauan di khemah jemaah haji Malaysia mendapati pelbagai program ibadat dilakukan di maktab masing-masing, termasuk bertalbiah, zikir, qiamullail dan khatam al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengambil kesempatan menyantuni jemaah haji dari khemah ke khemah di Arafah, semalam.

Sambil bertanya khabar, beliau turut meminta jemaah mengambil peluang berada di Arafah untuk melakukan ibadat sebanyak mungkin.

“Saya baru saja buat lawatan ke khemah penginapan rakyat Malaysia dan walaupun tak dapat jumpa semua, tetapi saya beri ucapan melalui pembesar suara minta mereka tumpukan pada waktu wukuf nanti.

“Saya juga berpeluang menemui 60 jemaah warga emas berusia 70 tahun ke atas yang berdepan masalah, termasuk kurang daya ingatan yang mana mereka dibantu secara perseorangan oleh kakitangan Tabung Haji (TH),” katanya.

Jamil Khir turut menziarahi 27 jemaah sakit yang dirawat di pusat rawatan TH Arafah.

Menurut beliau, secara keseluruhan jemaah sedang bersiap dan bersemangat menunggu wukuf kerana ia kemuncak haji. Ini paling penting untuk mereka menumpukan kepada ibadat.

Beliau turut memberitahu angka kematian jemaah kini meningkat kepada sembilan orang.

Pihak TH, katanya, akan melaksanakan badal haji untuk semua jemaah yang meninggal, termasuk seorang di tanah air.

Sementara itu, beliau turut memuji kerajaan Arab Saudi berikutan berjaya membuat perancangan rapi membolehkan pergerakan jemaah ke Arafah, kelmarin berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:26 AM
Jamil Khir pada lawatan di perkhemahan Arafah.
Jamil Khir beramah mesra dengan jemaah haji Malaysiadi perkhemahan Arafah.