PATI Indonesia yang ditahan PPM Pelabuhan Klang dalam Op Pensura.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Kegembiraan 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pulang menyambut Aidiladha di negara asal ‘terbantut’ apabila bot dinaiki mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), kelmarin.

Bot jenis ‘pom-pom’ yang turut dinaiki seorang tekong dan awak-awak itu dikesan PPM berada di perairan Kuala Sungai Dua, Pelabuhan Utara di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Asisten Superintendan Mohd Rohaizad Mohd Nasir berkata, bot itu ditahan ketika sepasukan anggota meronda di sekitar kawasan berkenaan dalam Op Pensura.

“Menyedari keadaan bot yang mencurigakan, kami menjalankan pemeriksaan dan menemui seramai 92 warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka yang berusia 16 hingga 52 tahun itu membabitkan 72 lelaki manakala 15 lagi wanita. PPM turut menahan dua individu lain iaitu tekong dan awak-awak bot itu bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya mendapati bot itu dalam perjalanan keluar dari negara ini menuju ke Jeti Tanjung Balai, Indonesia.

“Semua PATI itu dikatakan mahu pulang beraya ke kampung halaman masing-masing sempena Aidiladha ini,” katanya.

Dia berkata, semua yang ditahan dibawa ke Jeti PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut termasuk merampas bot pom-pom yang bernilai kira-kira RM80,000 itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007), selain Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, PPM akan menjalankan operasi penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan bagi membanteras sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dilakukan di kawasan perairan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:54 AM