STESEN LRT Setiawangsa dipenuhi pengguna yang terkandas.

Kuala Lumpur: Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bakal menikmati tambang percuma selama tiga hari bermula 13 September ini.

Tambang percuma itu bagi pengguna laluan berkenaan saja dan ia boleh dinikmati sepanjang hari.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, pemberian tambang percuma itu untuk menghargai kesetiaan penumpang berikutan dua kejadian gangguan perjalanan tren di laluan berkenaan pada Rabu dan pagi semalam.

“Gangguan (sistem bekalan kuasa dan masalah sistem komunikasi) kepada tren pada Rabu dan pagi tadi (semalam) menyebabkan ribuan pengguna terkandas.

“Disebabkan itu, Rapid Rail Sdn Bhd mengambil inisiatif memberi tambang percuma kepada semua penumpang bermula 13 hingga 15 September ini.

“Ini adalah salah satu aspek yang boleh kita berikan kembali kepada pengguna untuk menghargai kesetiaan selain tanda permohonan maaf kepada mereka,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 10:07 AM