JENAZAH dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan, semalam.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: “Saya tiba-tiba rindu pada adik tapi tidak dapat bercakap dengannya selepas ibu memberitahu adik keluar bermain. Perasaan itu rupanya petanda saya tidak bertemu dia lagi,” kata Siti Nor Suhaila Mohd Rosli, 21, kakak kepada Siti Nor Auni Sufiya Mohd Rosli, 7, yang ditemui lemas tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Siti Nor Auni Sufiya dikatakan bermain berhampiran parit di rumahnya di Taman Setia, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), dekat sini, bersama dua rakan, Muhammad Hafiz Mazlan, 9, dan Muhammad Faiz Mazlan, 8.

Ketika bermain dalam keadaan hujan lebat itu, mangsa dikatakan cuba mengambil seliparnya yang dihanyutkan arus dan terjatuh ke dalam parit.

Mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat jam 12 tengah malam di sungai 1.5 kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Siti Nor Suhaila yang bekerja di Kangar, Perlis, berkata, sebaik sampai di rumah sewanya, dia tiba-tiba teringatkan arwah.

“Saya hubungi ibu nak bercakap dengannya namun ibu hanya merungut kerana adik tidak naik ke rumah walaupun berkali-kali dipanggil.

“Ibu marah kerana adik tidak mengendahkan larangannya, tapi saya cakap akan menghubunginya semula,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, semalam.

Menurutnya, setengah jam selepas itu, dia menerima panggilan daripada ibunya memaklumkan Siti Nor Auni Sufiya hilang selepas terjatuh ke dalam parit.

Katanya, bimbang sesuatu berlaku dia bertolak pulang ke Dungun.

“Dalam perjalanan pulang, saya dimaklumkan mayat adik dijumpai,” katanya.

Ibu mangsa, Rogayah Che Mud, 40, berkata, tiada apa yang boleh dilakukannya dan dia reda dengan kehilangan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS Jaswari Awang berkata, pasukan 17 anggota bersama 50 penduduk kampung dengan bantuan polis dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Mayat ditemui 1.5 kilometer daripada tempat dia terjatuh sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 9:39 AM