JAMIL Khir (kanan) beramah mesra dengan jemaah haji di surau maktab.
Safar Ahmad
am@hmetro.com.my

Makkah: Malaysia berjaya mematuhi 100 peratus syarat baru kerajaan Arab Saudi yang diperkenalkan ke atas jemaah haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, syarat baru itu termasuk imbasan biometrik 10 jari serta pemakaian gelang e-Hajj mengandungi maklumat penting jemaah haji.

“Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan syarat baru pemantauan jemaah supaya lebih cekap khususnya dalam aspek keselamatan.

“Tahniah dan syabas kepada Lembaga Tabung Haji (TH) kerana melaksanakan pematuhan itu. Ini memberi makna kepada kita,” katanya di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Jamil Khir berkata, TH dan Muassasah Tawaf Asia Tenggara turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan untuk keselesaan jemaah ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Katanya, penambahbaikan itu termasuk penggunaan kipas angin semburan air di khemah Arafah, pemasangan permaidani di Muzdalifah, agihan makanan dan minuman ringan, pemasangan ‘urinal’ (mangkuk membuang air kecil), aplikasi khas Hajj Mobility untuk memantau pergerakan bas dan pengiraan jumlah jemaah serta Safari Wukuf iaitu program jemaah yang dirawat di hospital dibawa ke Arafah, selain program Jemaah Haji Warga Emas iaitu program bantuan petugas TH untuk 60 jemaah yang dipilih.

Jamil Khir berkata, sebagai wakil kerajaan, beliau menasihatkan jemaah menjaga kesihatan kerana ibadat di kemuncak musim haji bermula pada hari wukuf menuntut kudrat dan tahap kesihatan yang tinggi bagi memastikan ibadat dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya sarankan kepada jemaah ketika di Arafah supaya memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah.

“Anggaplah kita hanya sekali ini berada di Arafah, jadi gunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya.

“Rata-rata jemaah haji Malaysia penuh dengan disiplin. Tahun ini kita nak mengekalkan disiplin itu dan menjadikan jemaah kita dikagumi dengan menumpukan hari wukuf ini dengan ibadat kerana hari wukuf adalah hari yang teramat istimewa,” katanya.

Beliau memohon rakyat Malaysia mendoakan jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna dan memperoleh haji mabrur.

Jamil Khir mengajak jemaah mendoakan kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian kerana doa di Tanah Suci mudah dimakbulkan Allah.

Beliau menemui dan beramah mesra dengan jemaah haji di surau maktab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:21 AM