Syed Saleh memberi taklimat mengenai pergerakan jemaah di Arafah.

Makkah: Bagi memudahkan dan mengelak jemaah tersasar ketika perkhemahan Operasi Masya’ir di Mina, Lembaga Tabung Haji (TH) menggunakan sistem kod warna dan nama yang mudah diingati bagi menandakan lorong dan kedudukan khemah.

Ia termasuk nama buah-buahan, kenderaan, alat tulis, peralatan sukan dan peralatan elektrik.

Sebagai contoh, Maktab 86 menggunakan kod warna kuning dan nama lorong buah-buahan seperti epal, tembikai, pisang, nanas dan durian.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah berusia selalunya menghadapi kesukaran menentukan kedudukan khemah apabila mereka keluar.

“Kami juga beri lencana bas kepada jemaah haji bagi membolehkan mereka mengenali bas masing-masing dan mengelak mereka menaiki bas yang salah.

“Petugas turut ditempatkan di pos menunggu yang akan memberi pandu arah kepada bas jemaah Malaysia.

“Kami juga tempatkan lampu LED untuk menandakan nombor bas dan maktab pada waktu malam di Muzdalifah serta menggunakan bendera ‘tear drop’ untuk mengumpul jemaah mengikut maktab,” katanya.

Beliau berkata, di Mina-Muaissim, setiap jemaah dibekalkan peta untuk memudahkan mereka memahami pergerakan ketika melontar di jamrah.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, pihaknya turut melakukan beberapa penambahbaikan pada tahun ini seperti Safari Wukuf iaitu pesakit akan dibawa sebentar untuk wukuf menggunakan bas khas.

“Di Arafah, pihak muassasah memasang kipas angin semburan air untuk menyejukkan udara berikutan pihak berkuasa kaji cuaca Arab Saudi menjangkakan suhu melebihi 40 darjah Celsius tahun ini.

“Selain itu, kami juga menambah baik dari segi pemberian minuman dan sajian makanan untuk jemaah,” katanya.

Katanya, di Muzdalifah jemaah diberi pek makanan dan penggunaan permaidani untuk jemaah duduk.

Menurutnya, di Mina juga pihak TH menyediakan kemudahan urinal (mangkuk tandas untuk membuang air kecil) sebagai tambahan kepada tandas sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:40 AM