Rohani (kanan) menziarahi dua beradik yang menjadi mangsa amuk di Bertam Malim di Hospital Melaka, Bukit Palah, Melaka.

Melaka: Ahli keluarga kepada dua mangsa kelar dalam kejadian di Kampung Bertam Malim pada 25 Ogos lalu memohon kedua-dua mangsa dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan urusan waris mereka yang tinggal di Lembah Klang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini kedua-dua mangsa stabil dan masih dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata, ketika melawat kedua-dua mangsa, Noorhaslinda Diyana, 27, dan adiknya, Nur Aqiedah Aeina, 24, mereka menunjukkan semangat positif yang tinggi untuk meneruskan kehidupan dan menerima kejadian berdarah itu.

“Cuma satu sahaja, saya difahamkan ahli keluarga memohon supaya dua beradik ini dipindahkan segera ke HKL memandangkan, waris tinggal di Kuala Lumpur terpaksa berulang-alik ke Melaka setiap hari.

“Saya berharap pihak hospital membantu melancarkan proses memindahkan mangsa ke HKL bagi memudahkan waris mereka,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi dua beradik itu di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Datuk Latipah Omar, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Muhammad Noh Abdullah dan Timbalan Pengarah Perubatan 2 Hospital Melaka Dr Zarina Sahrom.

Menurutnya, beliau difahamkan nenek mangsa, Siti Khatijah Mohamed, 80, yang terselamat dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur kerana suaminya bekas tentera.

Sementara itu, Zarina berkata, setakat ini kedua-dua beradik berkenaan berada dalam keadaan stabil, namun Nur Aqiedah Aeina masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kita sedang melakukan proses memindahkan dua beradik ini ke HKL dan jika tidak ada sebarang masalah mereka akan dihantar ke HKL dalam masa dua atau tiga hari lagi bagi memenuhi permintaan waris,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 pagi, 25 Ogos lalu, Hassan A Wahab, 72, isterinya Mariah Baharin, 61, dan anak lelaki mereka Muhammad Taufeq Hassan, 22, juga penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah maut akibat dikelar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 11:03 AM