Proses permulaan mengeluarkan kanji atau sagu.
BEBERAPA barangan dilihat pada pameran produk enau.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Serdang: Selepas 11 tahun menjalankan kajian ke atas pokok enau, pasukan penyelidik tempatan berjaya menghasilkan 12 produk yang boleh dibangunkan menerusi tumbuhan liar berkenaan sekali gus menjana ekonomi penduduk luar bandar.

Projek ini di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Jempol, Bahau, Negeri Sembilan.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Komposit Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Ir Dr Mohd Sapuan Salit berkata, usaha berkenaan diketuai beliau serta digerakkan bersama dua pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM Prof Madya Dr Zulkiflle Leman dan Dr Mohamad Ridzwan Ishak serta dibantu penduduk, Mohamad Hafiz Adha Ishak yang mengetuai penduduk tempatan.

Menurut beliau yang juga Ketua Laboratori Teknologi Biokomposit Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM, kejayaan itu suatu penemuan terbaharu yang mengangkat potensi pokok enau di Malaysia yang lazimnya diketahui hanya boleh dijadikan sebagai bahan pemanis minuman.

“Di Sabah, pokok enau ditanam secara meluas untuk menghasilkan gula dan sirap minuman saja. Tetapi hasil kajian ini membuka lagi peluang kita mengembangkan potensi enau kepada pembuatan produk lain.

“Melalui kajian ini, terbukti enau bukan saja boleh menghasilkan gula kabong dan gula pasir tetapi ada bahagian tertentu termasuk gentian atau serat (ijuk) boleh dijadikan bahan mentah untuk menghasilkan produk biokomposit.

“Kita dapati kira-kira 12 produk boleh dikomersialkan seperti bulu penyapu, tali, berus, atap selain cuka dan kanji serta bahan pemanis dalam makanan dan minuman,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, projek perintis ini juga menjadi model contoh kejayaan hasil usahasama penyelidik dan penduduk luar bandar dalam memanfaatkan hasil tumbuhan hutan yang terbiar.

“Sejak 2008, kita mula membeli produk dihasilkan orang kampung seperti ijuk dan kanji dan ini memberikan pendapatan sampingan kepada mereka tetapi bermula 2015 sejak wujudnya projek NBOS peluang pekerjaan semakin terbuka kepada penduduk melalui pemberian mesin untuk menggerakkan projek ini.

“Selain itu, mereka juga kami beri kepakaran melalui pendedahan ilmu serta teknik bersesuaian selain kami pantau dalam menjayakan projek ini. Secara tidak langsung kerjasama seperti ini dapat menjana ekonomi dan pendapatan penduduk luar bandar apabila sebahagian daripada produk sudah dikomersialkan.

“Di Malaysia, enau banyak tumbuh di daerah Kuala Pilah dan Bahau, Negeri Sembilan; Ladang Bukit Rimau, Balung, Tawau; Benta, Kuala Lipis, Pahang serta di Perak.

“Saya percaya jika kita menerokai pembuatan enau ini, sudah pasti kita dapat menghasilkan lebih banyak produk selain tidak perlu bergantung kepada sesuatu sumber bahan asli lain saja.

“Selain itu, pasukan penyelidik kami juga sudah dan sedang membangunkan bot kecil dari bahan komposit gentian enau, komponen casis automotif dari gentian enau dan kaca serta bahan pembungkusan dari komposit biopolimer gentian enau,” katanya.

Dr Mohd Sapuan berkata, sejak 22 tahun berkecimpung dalam bidang komposit beliau turut menerima pengiktirafan peringkat global dan kejayaan terbesar ialah satu-satunya rakyat Malaysia yang dipilih menerima Anugerah Felo Persatuan Jurutera Automotif (SAE) Antarabangsa, Amerika Syarikat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 11:06 AM