Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Tangkapan dijalankan selama dua minggu sehingga kelmarin oleh pihak polis berjaya menumpaskan sembilan suspek sekali gus menyelesaikan kes samun membabitkan sebuah kedai emas di Presint 15, 14 Ogos lalu.

Semua suspek berusia 20-an hingga 30-an yang juga lelaki warga tempatan ditahan di beberapa lokasi termasuk di rumah menerusi operasi di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, tiga suspek yang ditahan dipercayai terbabit secara langsung dengan rompakan manakala suspek lain adalah pembeli yang bertindak melebur emas serta pembeli emas yang sudah dilebur kan itu selain pemilik motosikal digunakan semasa kejadian samun.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang lagi dipercayai dalang dalam merancang serta mengatur kejadian itu.

“Hasil penahanan suspek, polis merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai berjumlah RM19,439 dipercayai hasil jualan emas, jam tangan dibeli dengan hasil samun, beberapa pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian selain beberapa barang kemas termasuk jongkong dan syiling emas.

“Polis juga merampas beg serta beberapa dokumen antara lain dipercayai wang disamun untuk membayar hutang along dianggarkan RM1,100, resit hospital perubatan seorang daripada anak suspek RM200 serta urusan jual beli yang lain,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard serta motosikal jenis Yamaha selain peralatan dan perkakasan dipercayai untuk melebur emas antaranya alat pembakar serta penimbang emas di rumah seorang daripada suspek yang juga pembeli emas.

“Barangan kemas yang disamun ini dipercayai dibakar secara manual sehingga lebur dan selepas itu, ia direndam di dalam air sejuk.

“Kita percaya, kegiatan melebur emas ini dilakukan secara persendirian malah, berkemungkinan kegiatan sindiket itu membabit semasa proses barang kemas itu dileburkan sehingga dijual.

“Buat masa ini kita tidak dapat pastikan (untuk kes lain berkaitan suspek), namun mereka dipercayai aktif dalam jual beli barangan kemas,” katanya.

Pada masa sama, Rosly berkata, wang tunai yang dirampas menerusi hasil samun juga turut ditemui dengan disorokkan di dalam bekas bedak semasa serbuan dilakukan pihak polis.

“Suspek yang menyamun ini dipercayai menyerahkan emas itu kepada wakil lain dan mereka berurusan dengan orang lain bagi melebur emas itu serta menjualnya.

“Hasil jualan emas yang disamun itu dianggarkan RM25,000 dan dibuat pembahagian antara mereka RM4,000 ke RM5,000 seorang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Muhammad Saiful Anuar Zamri, 27, bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Semua suspek masih direman dan polis dalam proses mengumpulkan segala bukti untuk tindakan selanjutnya manakala, siasatan terhadap kes dibuat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 14 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan pemilik kedai emas di Presint Diplomatik, di sini kerugian kira-kira RM30,000 selepas disamun tiga lelaki.

Suspek dipercayai menggunakan senjata tukul besi untuk memecahkan cermin pameran barang kemas dan penyembur lada bagi menakutkan pekerja premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 11:04 AM
ROSLY (tiga dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas.