AHMAD Nor Bakti dikucup ibunya, Zaiton sambil diperhatikan dua kakaknya, Husna, 25, (kanan) dan Izatie, 26, pada Majlis Konvokesyen ke-19 Kumpulan Pendidikan YPJ yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Johor Bahru.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: “Saya bekalkan lima kilogram kacang goreng kepadanya setiap bulan sejak dua tahun lalu bagi memastikan anak, Ahmad Nor Bakti Tarmizi, 20, bersemangat meneruskan pengajiannya,” kata ibu tunggal, Zaiton Ahmad, 48.

Dia berkata, anaknya itu yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak akan menjamah nasi tanpa kacang goreng sejak berusia enam tahun.

Menurutnya, dia sanggup berulang-alik dari Gombak Selangor, ke Johor Bahru setiap bulan demi membekalkan kacang goreng itu kepada anak bongsunya itu.

“Saya bersyukur kerana Ahmad Nor Bakti kini selesai menamatkan pengajian peringkat sijil kemahiran Malaysia Perekabentuk Multimedia, Animasi dan Visual di Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor, selain merancang melanjutkan pengajian bagi mengejar cita-cita menjadi pereka grafik.

“Kami hanya menyedari kecacatan pada Ahmad Nor Bakti ketika dia berusia enam bulan selepas pergerakannya lebih lambat berbanding dua kakaknya. Pemeriksaan di hospital mengesahkan dia mengalami masalah saraf hingga mengakibatkan bahagian kiri tubuhnya tidak berfungsi,” katanya.

Apapun dia bersyukur anaknya itu bersemangat untuk menimba ilmu dan menunjukkan minat tinggi dalam bidang reka grafik dan animasi.

Zaiton berkata, anaknya itu hanya menjadikan kacang tanah goreng sebagai lauk yang dimakan bersama nasi putih.

“Dia sudah belajar berdikari termasuk boleh menaiki bas. Dia kini memiliki lebih ramai rakan.

“Saya yakin ilmu yang diperolehnya itu membolehkan dia menyara hidup dan menjadi insan cemerlang pada masa depan,” katanya.

Ahmad Nor Bakti menjadi antara tiga graduan OKU yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen ke-19 Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, semalam.

Sementara itu seorang graduan OKU, Muhammad Ikhsan Hassan, 21, berkata dia berdepan pelbagai cabaran apabila terpaksda berpisah dengan keluarga bagi mengikuti kursus sijil kemahiran di Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor sejak dua tahun lalu.

Anak kelima daripada 10 beradik berasal dari Pulau Langkawi itu bernasib baik apabila menemui rakan dan pensyarah yang banyak membantunya.

“Saya akan melanjutkan pelajaran peringkat diploma di sebuah kolej di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat bagi mengejar cita-cita menjadi pakar teknologi maklumat,” katanya.

Seramai 902 graduan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) menerima sijil dan diploma di Majlis Konvokesyen KPYPJ ke-19 di Dewan Sultan Iskandar di UTM, Skudai di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:20 AM