AZMIN (tengah) bersama daripada sebahagian 987 peneroka di Majlis Penyampaian Sijil Kelayakan Pemilikan Rumah.
Norzamira Che Noh
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Seramai 987 peneroka di Mukim Ijok, Kuala Selangor menarik nafas lega ketika menerima Sijil Kelayakan Pemilikan Rumah menerusi rancangan Revolusi Hijau EcoWorld Developmet Group Berhad selepas hampir 16 tahun menunggu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama yang diberikan EcoWorld terhadap perancangan kerajaan negeri membangunkan projek terbengkalai itu adalah satu sinergi positif untuk kedua-dua pihak.

“Peneroka terpaksa menunggu hampir 16 tahun sejak pemilikan tanah diberikan pada 2000. Difahamkan kerajaan ketika itu menyerahkan projek berkenaan kepada dua pemaju bagaimanapun projek itu terbengkalai.

“Kawasan ini mempunyai potensi serta strategik dan pembangunan itu sudah pasti menjadi pemangkin pembangunan lain di Kuala Selangor,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sijil kelayakan perumahan kepada peneroka mukim Ijok di Galeri EcoWorld, Eco Grandeur di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, setiap peneroka akan mendapat sebuah rumah teres dua tingkat di Eco Grandeur yang turut dikenali sebagai Laman Haris.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dan saya berharap peneroka menjaga hartanah mereka dan tidak menjualnya kerana nilai hartanah kini sangat mahal,” katanya.

Kira-kira 566.5 hektar diperuntukkan untuk Eco Grandeur dan daripada jumlah berkenaan, 32 hektar diperuntukkan untuk projek Laman Haris khusus untuk peneroka Mukim Ijok dan selebihnya diperuntukkan untuk rumah teres, rumah berkembar, banglo, presint komersial, tasik serta taman rekreasi.

Sementara itu, peneroka Miskam Sulaiman, 70, berkata, pengalaman bersama dua pemaju sebelum ini membuatnya serik untuk meletakkan harapan tinggi, bagaimanapun dia lega kerana EcoWorld mempunyai rekod yang baik sebagai syarikat pemaju.

“Saya sudah menunggu sejak 2000 lagi dan saya sudah serik namun saya tetap berharap EcoWorld akan menjadikan impian saya untuk melihat rumah baru itu menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:18 AM