ANTARA makanan popular Malaysia yang disajikan kepada jemaah.
Safar Ahmad
am@hmetro.com.my

Makkah: Jemaah haji yang ‘mengidam’ makanan Melayu tidak perlu risau kerana mereka boleh mendapatkan makanan itu di kafeteria hotel penginapan.

Kafeteria Al-Basitiyah di Hotel Abraj Al-Janadriyah, menyajikan pelbagai hidangan Melayu termasuk nasi lemak, nasi kerabu, bihun sup, murtabak, pulut kelapa parut ikan masin, sup ekor, pulut panggang, laksam, laksa, pelbagai jenis kuih-muih Melayu serta minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik.

Turut disediakan termasuk makanan Timur Tengah dan makanan moden.

Pengusaha kafeteria Shukri Hassan Fathani berkata, pelanggan paling ramai berkunjung pada waktu petang untuk mendapatkan makanan bercita rasa Malaysia walaupun banyak kedai makan tempatan terdapat di sekitar hotel.

“Pada waktu sarapan ramai jemaah makan di luar. Bagaimanapun, menjelang petang dan malam, mereka akan mengunjungi kafeteria hotel jika mereka mahukan masakan Melayu.

“Mereka mahu mendapatkan makanan Malaysia dan kita sediakan pelbagai menu untuk pilihan jemaah dengan harga berpatutan,” katanya.

Katanya, kafeteria di hotel berkenaan beroperasi 24 jam bagi memberi kemudahan kepada jemaah menjamu selera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:12 AM