Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam membuat lawatan mengejut kira-kira setengah jam ke projek MRT Lembah Klang (KVMRT) bermula di Stesen Semantan hingga ke Stesen Phileo Damansara di sini.

Kunjungan itu adalah lawatan kerja kelima Perdana Menteri ke projek KVMRT dan semalam kali pertama beliau menaiki tren MRT, yang jelas menunjukkan komitmen dan perhatian beliau secara konsisten bagi memastikan projek itu siap pada masa dan kos yang ditetapkan.

Perdana menteri yang tiba jam 5 petang di Stesen Semantan, disambut Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Pengarah Projek Laluan SBK Marcus Karakashian.

Beliau kemudian menaiki tren MRT yang akan beroperasi bagi laluan pertama iaitu MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Stesen Semantan ke Stesen Pusat Bandar Damansara sebelum ke Stesen Phileo Damansara.

Najib kemudian meninjau sekitar Stesen Phileo Damansara termasuk melawat jejantas pejalan kaki yang menyeberangi Lebuh raya SPRINT menghubungkan pusat komersial Phileo Damansara. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 11:40 AM