Pengarah Operasi Pusat Perkhidmatan Maktab, Khairul A'zihar Rapar mengetuai bacaan ikrar petugas sempena Hari Kebangsaan 2016.
Safar Ahmad
am@hmetro.com.my

Makkah: Kira-kira 600 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2016 yang diadakan di Ibu Pejabat TH Makkah, semalam.

Petugas daripada rombongan kebajikan dan perubatan berkumpul di Hotel Abraj Al-Janadriyah seawal jam 7.30 pagi bagi mendengar amanat Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Hadir sama, Ketua Pakar Rujuk Datuk Seri Hassan Ahmad dan semua pengarah operasi bagi musim haji ini.

Dalam ucapannya, Syed Saleh melahirkan rasa gembira apabila audit ISO TH bagi sektor operasi haji di Madinah musim ini berjaya memperoleh Laporan Ketidakpatuhan (NCR) sifar.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rombongan perubatan berikutan memperoleh markah ‘A’ (85 peratus) selepas melalui pemeriksaan Kementerian Kesihatan Arab Saudi ke atas dua pusat rawatan di Makkah dan Madinah.

Syed Saleh turut mengambil kesempatan mengingatkan semua petugas untuk mempertingkatkan iman dan taqwa sepanjang berada di Tanah Suci.

“Apalah ertinya bergelar penyantun ‘dhuyufurrahman’ (tetamu Allah), tetapi tidak disertai dengan taqwa dan iman yang mantap kepada Allah apatah lagi dengan peluang yang terbentang luas di hadapan kita.

“Alhamdulillah setakat ini operasi haji di tanah air dan di Tanah Suci pada keseluruhannya berjalan dengan baik.

“Kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan jemaah sudah berada di Tanah Suci. Keadaan kesihatan jemaah juga terkawal walaupun cuaca panas,” katanya.

Beliau juga meminta semua petugas haji itu agar tidak melupakan amanah mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada semua 22,320 jemaah dari Malaysia.

“Kita mempunyai peranan besar walaupun sekecil mana tanggungjawab dan tidak berlaku curang dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni dhuyufurrahman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:36 AM