Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjangkakan fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda negara buat masa ini tidak akan seteruk dihadapi negara tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, buat masa ini, musim kekeringan yang melanda negara kini adalah fenomena biasa sebagaimana tahun sebelum ini.

Beliau berkata, fenomena kekeringan ini akan berterusan sehingga Oktober sebelum fenomena La Nina mengambil alih.

“Kami berpendapat negara tidak akan berdepan jerebu teruk seperti Ogos tahun lalu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) juga belum sampai pada tahap berbahaya dan kebanyakan lokasi seperti Pasir Gudang, Johor dan Cheras serta beberapa kawasan lain sekitar Lembah Klang hanya mencatatkan IPU tahap sederhana.

Wan Junaidi berkata, biarpun kebakaran dikesan di Sumatera, Riau dan Jambi dan Sumatera Tengah, Indonesia, namun ia tidak membimbangkan seperti tahun lalu.

“Ia berikutan beberapa langkah proaktif dilakukan Indonesia termasuk mengerahkan seramai 3,000 tentera dan polis untuk membuat pemadaman terbuka selain menghentikan pemberian konsesi ladang kepada mana-mana syarikat,” katanya.

Katanya, beliau juga sudah mengutus surat kepada Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia pada 22 Ogos lalu bagi melahirkan kebimbangan Malaysia terhadap isu jerebu rentas sempadan yang sedang berlaku kini.

Wan Junaidi berkata, Malaysia berharap agar Indonesia akan mengambil tindakan proaktif dan berkesan dalam menangani masalah berkenaan.

“Atas prinsip ASEAN, Malaysia akan menyokong dan membantu Indonesia dalam bersama-sama menyelesaikan kemelut jerebu ini,” katanya.

Katanya, bagi pencegahan jangka masa panjang, Indonesia juga perlu memperkuatkan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan amalan potong dan bakar dapat dielakkan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:07 AM
PELANCONG tempatan merakam gambar berlatar belakang Masjid Putra walaupun keadaan berjerebu di Putrajaya, semalam.
KEADAAN jerebu di sekitar Kuala Lumpur. Gambar kecil, pekerja menggunakan penutup muka ketika meracun di Shah Alam, semalam.