PLAINDREN (kiri) menunjukkan kesan lebam di betis tiga pelajar akibat dirotan guru mereka.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Kulai: “Kami terkilan dengan tindakan guru berkenaan kerana bukan saja merotan anak saya tanpa sebarang alasan munasabah malah tindakannya mengakibatkan anak saya dan dua rakan kelasnya turut bercuti sakit sehari kerana mengalami kesan lebam dan kesakitan,” kata seorang bapa, R Subramaniam, 44, semalam.

Subramaniam berkata, pada jam 7.30 malam 24 Ogos lalu, anaknya, S Kugilan, 13, yang pulang dari sebuah sekolah di sini mengadu kesakitan di bahagian betis.

Anaknya memaklumkan mengalami kesan lebam di kedua-dua bahagian betisnya akibat dirotan seorang guru lelaki berusia 30-an.

“Saya pelik apabila dimaklum guru berkenaan merotan hanya kerana anak leka bermain ketika waktu kokurikulum bersama beberapa rakan kelasnya.

“Akibat kesan lebam berkenaan yang berukuran kira-kira lima sentimeter di betis, saya membawa anak untuk mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai,” katanya.

Pemandu lori berkenaan berkata, tindakan guru berkenaan agak melampau sedangkan dia bukan guru disiplin sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketika ingin mendapatkan penjelasan atas tindakan itu, guru berkenaan enggan memberi sebarang maklum balas sebaliknya menyatakan merotan adalah hukuman biasa.

“Mungkin guru berkenaan bercita-cita menjadi guru disiplin namun ini bukan caranya. Selain anak saya, rakan sekelasnya, R Prem dan N Navin juga mengalami kesan lebam hingga keluarga masing-masing turut tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan,” katanya.

Subramaniam berkata, ketiga-tiga pelajar berkenaan juga diberi cuti sakit selama sehari.

Menurutnya, ia juga mengakibatkan anaknya trauma dan keluarganya bimbang ia boleh menjejaskan masa depan.

“Saya melaporkan kejadian berkenaan di Balai Polis Kulai pada hari sama. Saya berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sesuai.

“Merotan pelajar boleh tapi bukan sehingga memudaratkan sedangkan guru berkenaan boleh memberi hukuman lain yang lebih sesuai,” katanya yang mengadu kepada Timbalan Presiden Pertubuhan Pencegah Dadah, Jenayah dan Aduan Rakyat Malaysia, R Plaindren di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:26 AM