MAYAT dua beradik terbujur selepas motosikal dinaiki merempuh belakang treler ketika pulang dari sekolah.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


Raub: Perjalanan pulang dua beradik dari sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, di sini, berakhir tragedi apabila kedua-duanya terbunuh selepas motosikal dinaiki merempuh bahagian belakang kiri treler di Kilometer 339, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, Dong, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.43 petang, mangsa, Mohamed Zulfikri Mohd Zul, 16, dan adiknya, Nurul Syakirah, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd NoorYusof Ali berkata, kejadian itu berlaku di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Muhammad Jabar, dekat sini, ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

“Mangsa dari arah Dong dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Kuala Keloi. Ketika tiba di tempat kejadian, Mohamed Zulfikri yang menunggang motosikal jenis SYM Sport Bonus dipercayai cuba memotong dari sebelah kiri sebuah treler yang membawa muatan kayu di depannya.

“Bagaimanapun, motosikalnya secara tiba-tiba hilang kawalan dan kedua-dua mangsa terjatuh dan digilis tayar belakang treler berkenaan menyebabkan mangsa mengalami parah di bahagian kepala serta badan dan meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu treler yang menyedari kejadian itu segera memberhentikan kenderaannya dan terkejut melihat mangsa bergelimpangan di belakang treler dipandunya.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu bergerak perlahan kerana lalu lintas agak sibuk berikutan ramai murid berjalan di kiri dan kanan jalan selepas tamat sesi pembelajaran sekolah berkenaan.

“Pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan dan kita sudah mengambil keterangannya serta sampel darah dan air kencing untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub, di sini, untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:44 AM