MOHD Amir Firdaus terlantar koma di rumahnya di Kampung Batang Merbau, Tanah Merah.

Tanah Merah: Sebelum ini, dia seorang pelajar yang cergas dan menjadi harapan membantu keluarga.

Namun, kemalangan yang berlaku 10 bulan lalu mengubah kehidupan Mohd Amir Firdaus Mohd Hijazi, 16, daripada seorang lincah kepada pesakit terlantar.

Malah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Yaacob itu masih koma selepas parah dalam kemalangan itu.

Dia juga mengalami patah kaki, dada dan gegaran pada otak.

Ibunya, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 47, berkata, penderitaan anak kedua daripada empat beradik itu sudah hampir setahun berlarutan.

“Kini, Amir hanya mampu terbaring tidak sedarkan diri, manakala makan dan minumnya pula hanya menggunakan tiub menerusi hidung.

“Keadaan fizikalnya juga banyak berubah apabila semakin kurus, lemah dan kekejangan berbanding sebelum kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batang Merbau, di sini, semalam.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT) yang menyampaikan sumbangan.

Raja Rasiah berkata, penjagaan anak yang terlantar koma memerlukan perhatian khusus dan perbelanjaan rawatan juga tinggi.

Katanya, kira-kira RM1,000 sebulan diperlukan bagi menyediakan segala kemudahan termasuk susu formula khas dan lampin pakai buang.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam: 03054020655976 atau menghubungi talian 011-17924802.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:43 AM