RADIM (kiri) bersama isterinya, Musringah memeriksa beg sebelum bertolak ke KLIA.
Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Walaupun hanya menabung RM50 sebulan pada usia muda, usaha berjimat cermat itu membuahkan hasil apabila Radim Hamdi Bedawi, 64, berjaya ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

Radim berkata, dia membuat potongan gaji bulanan ke akaun Tabung Haji (TH) sejak mula bekerja pada 1970 ketika berusia 20-an.

“Simpanan RM50 sudah sangat besar nilainya berbanding sekarang kerana ketika itu barangan keperluan masih murah dan keinginan terhadap barangan lain juga tiada.

“Pendapatan bulanan yang diperoleh hanya fokus untuk perbelanjaan keluarga tetapi semasa berumur 38 tahun, saya membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan dan beralih kerjaya sebagai peniaga,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun sudah berhenti kerja dan baru berjinak-jinak dengan perniagaan runcit, usaha menyimpan tetap diteruskan sedikit demi sedikit kerana mengerjakan haji adalah satu impian yang mahu dicapainya.

“Pada 1980, saya mulakan perniagaan runcit dan Alhamdulillah, hasil pendapatan bulanan yang diperoleh lumayan kerana harga barangan masih murah.

“Jadi selepas ditolak dengan modal perniagaan, perbelanjaan harian dan anak, saya masih mampu menyimpan RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya yang berasal dari Jenjarom, Selangor.

Radim berkata, dia tidak lagi berniaga kerana faktor umur dan sakit sendi di bahagian lutut yang menghalangnya untuk terus aktif bekerja.

“Keputusan saya untuk berhenti berniaga seolah-olah tepat pada masanya kerana ketika itu harga barangan runcit mulai meningkat.

“Memandangkan enam anak sudah ada kerjaya masing-masing, mereka menghulurkan sumbangan kewangan kepada kami sebagai perbelanjaan harian,” katanya.

Radim dan isteri, Musringah Buyumin, 63, mendaftar pada 2006 dan mendapat panggilan daripada TH untuk mengerjakan haji, November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:46 AM