Saffar Ahmad

Makkah: Sebanyak 120 kilogram (kg) benang emas, 120kg benang perak dan 670kg sutera digunakan untuk menghasilkan kelambu Kaabah atau Kiswah.

Kiswah setinggi 14 meter ditukar pada hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah setiap tahun dan penyerahan dilakukan pemerintah Arab Saudi kepada pihak Masjidilharam pada awal Zulhijjah.

Kilang Kiswah Kaabah diasaskan bapa pemodenan Arab Saudi Raja Abdulaziz Abdul Rahman Al-Saud di Kota Makkah pada 1927.

Pada masa Raja Fahd Abdulaziz menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau merasmikan pembukaan kilang baru yang terletak di Ummul Joud, di sini, pada 1977 yang beroperasi sehingga sekarang.

Setiap tahun, kilang berkenaan hanya mengeluar sebuah Kiswah yang kebanyakan kerja sulaman ayat suci al-Quran dan tenunan dilakukan secara manual oleh pekerja warga tempatan. Hanya sebahagian kecil penghasilan kain menggunakan mesin moden.

Kos bagi sebuah Kiswah yang siap mencecah RS22 juta (RM23.7 juta) menggunakan kain sutera berkualiti tinggi diimport dari Itali serta benang emas dan perak tulen dari Jerman.

Ia mengambil masa antara lapan dan sembilan bulan untuk disiapkan.

Pasukan media yang dibawa Lembaga Tabung Haji (TH) agak bertuah pada tahun ini apabila berpeluang melawat kilang penghasilan Kiswah di sini.

Ketibaan kami disambut Pengurus Besar kilang Mohammed Abdullah Bajawda.

Memasuki ruang tetamu kilang itu, pasukan media terpegun dengan pelbagai corak Kiswah menghiasi dinding. Sebuah ilustrasi pintu Kaabah diselimuti Kiswah ditempatkan di satu sudut.

Kami kemudian dibawa ke tempat kerja sulaman. Seramai 82 pekerja warga Arab Saudi tekun melakukan kerja masing-masing.

Abu Saad pekerja paling lama berkhidmat di kilang ini sejak 42 tahun lalu.

Pekerja dibahagikan mengikut tugas masing-masing yang mana tugas sulaman dilakukan pekerja senior.

Selain sulaman, terdapat beberapa lagi bahagian di kilang ini iaitu bahagian mencelup warna, makmal, tekstil, percetakan dan menjahit Kiswah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:53 AM
PEKERJA tekun melakukan kerja sulaman ayat suci al-Quran pada Kiswah.