MOHD Norhan mengira keuntungan hasil durian.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Jelebu: Memulakan tugasnya seawal jam 7 pagi, peraih durian di Kampung Chennah, Titi, di sini, Mohd Norhan Surik, 25, mampu menjual 800 kilogram durian sehari yang dibeli daripada tujuh pengusaha dusun durian di kampung berkenaan.

Berbeza tahun sebelumnya, musim durian kali ini menurutnya memberi pulangan agak lumayan apabila raja buah itu mampu dijual pada harga antara RM4.50 hingga RM5 sekilogram untuk jenis durian kampung berbanding tahun-tahun sebelumnya yang lebih rendah sehingga pernah serendah 30 sen hingga 80 sen sekilogram.

“Tahun ini harga durian kampung dan lain-lain lebih tinggi kerana kebetulan musim durian di Johor, Pahang dan Perak tidak begitu menjadi dan pengeluaran durian yang kurang di tiga negeri itu menyebabkan harga durian di Jelebu melambung untuk menampung permintaan tinggi.

“Sebab itu sejak musim durian di sini awal Jun lalu, pengusaha kebun durian tidak putus-putus menghantar buah kepada kami selaku peraih kampung yang menjualnya pula kepada peraih luar untuk mendapat sedikit keuntungan,” katanya.

Menurut Mohd Norhan, setiap hari bermula jam 7 pagi, dia akan menunggu tujuh pengusaha dusun durian yang menjadi pelanggan tetapnya sepanjang musim durian kali ini untuk menghantar berpuluh-puluh bakul durian di pusat pengumpulannya.

“Di sini, kami akan mengasingkan durian mengikut jenis dan saiz iaitu sama ada jenis Musang King, D101 atau durian kampung mengikut gred A dengan berat sebiji lebih 1.5 kilogram, Gred B (kurang sekilogram) dan Gred C pula durian untuk kegunaan membuat tempoyak.

“Selepas membayar harga yang dipersetujui kepada pekebun, saya akan menunggu pula peraih luar datang membeli semua durian ini untuk dijual kepada peniaga atau pelanggan di Kuala Lumpur,” katanya.

Dia yang berpengalaman lebih lapan tahun menjadi peraih durian berkata, pendapatan yang diperoleh sukar dijangka kerana harga durian sentiasa berubah setiap hari mengikut permintaan peraih luar.

“Contohnya, hari ini saya keluarkan modal RM3,015 untuk kos belian durian daripada semua tujuh pengusaha durian dan daripada jumlah itu, saya dapatlah untung RM300 apabila menjualnya kepada peraih luar.

“Itu belum dikira lagi dengan jualan hasil dusun durian sendiri seluas tiga ekar. Jumlah jualan kepada peraih luar pun bukan setiap hari banyak kerana ada kalanya hanya mampu membekalkan 400 kilogram durian saja sehari,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan pengusaha durian yang menjadi pelanggan tetapnya tidak menjual durian kepada peraih lain, dia perlu bijak memainkan peranan untuk menetapkan harga belian yang memberi situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:29 AM