KERETA milik Tan yang rentung dalam kebakaran sebaik dihempap pokok.

Shah Alam: Seorang pegawai pemasaran rentung selepas kereta mewah dipandunya dihempap pokok dan terbakar di Bulatan Anggerik Seksyen 31, Kota Kemuning, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 4.40 pagi itu mengakibatkan Mercedes Benz dipandu Tan Chee Min, 31, musnah dalam kebakaran. Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu yang memandu dari arah Kota Kemuning gagal mengawal kenderaan dan terbabas memasuki kawasan bulatan lalu melanggar sebatang pokok.

“Pokok itu tumbang dan menghempap kereta sehingga menyukarkan mangsa menyelamatkan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin.

“Pemeriksaan mendapati kereta itu mempunyai logo Kelab Rekreasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:16 AM