MOHD Norber (dua dari kanan) sedang berbincang dengan petugas unit mengenai pergerakan di Arafah, Mudzalifah dan Mina bermula 8 Zulhijjah ini.

Makkah: Pergerakan jemaah haji untuk ibadat luar di Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masya’ir) bergantung pada keputusan kerajaan Arab Saudi sama ada tarikh 8 Zulhijjah jatuh pada Jumaat atau sebaliknya.

Pengarah Operasi Masya’ir Mohd Norber Kassim berkata, pergerakan akan bermula pada 8 Zulhijjah dengan jemaah dari semua maktab penginapan di Makkah dibawa ke Arafah untuk menyempurnakan rukun haji iaitu Wukuf.

Katanya, jika pergerakan bermula pada Jumaat semua jemaah akan bertolak sebelum solat Jumaat iaitu sekitar jam 10 pagi untuk pusingan pertama manakala pusingan kedua dan ketiga selepas solat Jumaat.

“Jika 8 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat ia mengambil kira ibadat solat Jumaat di Masjidilharam yang mana jalan biasanya akan ditutup lebih awal.

“Sekiranya 8 Zulhijjah tidak jatuh pada Jumaat kita ada perancangan yang lain pula.

“Pergerakan jemaah dari Makkah ke Arafah-Mudzalifah-Mina dan kembali semula ke Makkah dibuat oleh pihak pengurusan maktab dengan kerjasama pihak muassasah dan kita masih lagi dalam peringkat perbincangan kerana ia bergantung pada banyak faktor antaranya 8 Zulhijjah jatuh pada hari apa, kita tunggu keputusan Arab Saudi,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, jemaah haji akan dikumpulkan dan sudah disusun atur oleh bahagian bimbingan haji sepanjang mereka berada di Arafah sebelum digerakkan ke Mudzalifah untuk bermabit bermula sebelum waktu Maghrib pada 10 Zulhijjah.

Katanya, seterusnya mereka digerakkan ke Mina pada tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah untuk menyempurnakan wajib haji iaitu bermabit di Mina dan melontar jamrah.

Menurutnya, keseluruhan pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah, Mudzalifah dan Mina seterusnya pulang ke Makkah membabitkan jarak 21.9 kilometer yang memakan masa enam hari.

“Pada tahun ini juga kita mempertingkatkan dari segi perancangan, menetapkan pos pandu arah bas, begitu juga petugas yang terbabit dengan pasukan penyelamat yang membabitkan rombongan kebajikan dan perubatan.

“Alhamdulillah kerjasama yang diberikan semua pihak sehingga kini cukup baik sekali dan kita mengharapkan doa daripada semua petugas, jemaah dan rakyat Malaysia agar semua jemaah dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya bersedia dari segi mental dan fizikal dengan keadaan ketika operasi Masya’ir berikutan perlu berdepan dengan kesesakan dan faktor cuaca.

Katanya, jemaah yang sudah selesa berada di hotel perlu tinggal di dalam khemah dan berjalan jauh terutama ketika ke lokasi melontar sejauh tujuh kilometer (dua hala).

“Ini cabaran kepada jemaah kerana kita berjalan untuk melontar yang memerlukan tenaga, kesabaran dan juga ilmu pengetahuan serta keyakinan yang tinggi untuk melaksanakan ibadat itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:53 AM