Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Kumpulan penjenayah digelar ‘Zizan Paya Ikan’ yang sebelum ini aktif melakukan samun terhadap hotel bajet di sekitar daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, dicekup dalam beberapa siri serbuan berasingan sekitar negeri ini bermula 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, dalam serbuan, semua enam ahli kumpulan terbabit termasuk ketuanya berusia 25 tahun ditahan.

Beliau berkata, kumpulan itu bukan saja menjadikan hotel bajet sebagai sasaran, malah hasil siasatan mendapati enam individu terbabit turut melakukan samun terhadap kedai serbaneka.

“Enam suspek terbabit berusia 21 hingga 30-an ditahan hasil gerakan memburu yang kami lakukan dan kali terakhir mereka dilaporkan melakukan samun pada 9 Ogos lalu.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, kami yakin menyelesaikan 14 kes membabitkan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM10,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, semalam.

Shaikh Abdul Adzis berkata, bagi mengelakkan pergerakan mereka dihidu pemilik premis, ahli kumpulan itu pada kebiasaannya bergerak ke sasaran yang ditetapkan dalam beberapa kumpulan kecil.

Menurutnya, suspek kemudian berlakon seperti pelanggan yang mahu menginap di hotel berkenaan, namun akan memasuki premis yang disasarkan dengan memakai topi keledar bagi mengelakkan wajah mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) atau dicam mangsa.

“Dalam laporan yang diterima daripada mangsa, suspek turut bersenjatakan parang dan kayu ketika melakukan samun. Ketua kumpulan ini dikenali sebagai Zizan dan seorang lagi ahli mempunyai rekod jenayah lampau, selain hasil ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah methamphetamine.

“Mereka direman bagi membolehkan kami melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro pada 4 Ogos lalu melaporkan, suspek berpura-pura bertanyakan harga bilik untuk menginap sebelum mereka merompak tiga hotel bajet sekitar Alor Gajah dan Melaka Tengah dalam tempoh tiga jam pada 1 Ogos lalu.

Kejadian di ketiga-tiga premis itu yang berlaku antara jam 2 hingga 4.30 pagi, dipercayai didalangi dua pemuda berdasarkan penelitian dilakukan pihak polis menerusi rakaman CCTV dipasang di premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:50 AM
PEGAWAI penyiasat menunjukkan topi keledar yang dirampas.