Ahmad Jamaluddin
Safar Ahmad
am@hmetro.com.my


Makkah: Setiap petugas haji perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama terutama membabitkan ibadat haji bagi memastikan mereka dapat membimbing jemaah di Tanah Suci.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Ustaz Ahmad Jamaluddin Mohd Salleh berkata, sebagai petugas mereka perlu memiliki roh dan perlu menikmati keseronokan dalam melaksanakan tugas.

“Saya bimbang mampukah kita menjaga tetamu Allah ini. Macam mana kita nak pimpin orang jadi baik jika diri kita pun tidak baik,” katanya dalam ceramah kepada petugas haji bertajuk ‘Kelebihan petugas haji Tanah Suci’ di surau petugas Hotel Al-Janadriyah, di sini, malam kelmarin.

Ahmad Jamaluddin berkata, beliau juga bimbang jika ibadat haji tidak diberi perhatian akibat kekurangan ilmu, ibadat itu rosak.

“Haji ini ilmu dan kalau dilaksanakan tidak betul ia boleh mendatangkan kemudaratan... haji rosak, sebab itu kena belajar. Orang yang pergi kursus (haji) tiga empat tahun pun belum tentu (betul) lagi.

“Orang yang datang ke Makkah sepatutnya mendapat pengampunan daripada Allah sebaliknya dia dapat dosa (kerana ibadat tidak sempurna),” katanya.

Beliau turut meminta supaya petugas tidak berkira dalam menjalankan tugas dan perlu ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:14 AM