JENAZAH Aqil Shafrizal dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat.
myMetro

Mersing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika bermain bersama rakannya di jeti berhampiran sebuah resort di Kampung Teluk Meriam, Pulau Aur, di sini, kelmarin.

Kejadian menimpa Aqil Shafrizal Abdur Rahman itu hanya disedari penjaganya, Shap Abas, 33, selepas dia menyedari kehilangan kanak-kanak itu jam 6.30 petang sebelum seorang penduduk menemui mayat mangsa tidak lama kemudian.

Shap berkata, dia dimaklumkan seorang penduduk mengenai penemuan mangsa yang tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah gerai tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Sebaik mendapatkan Aqil, saya cuba melakukan bantuan pernafasan dengan bantuan rakan untuk menyelamatkan nyawanya tetapi tidak berhasil lalu membawanya ke klinik namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anak kedua daripada dua beradik itu menunjukkan perubahan ketara apabila sering merajuk.

Jenazah kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mersing, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:37 AM