Muhammad Fakrullah Rayqal semakin ceria dan sihat selepas empat bulan jalani pembedahan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, selepas empat bulan menjalani pembedahan pemindahan hati, keadaan anak semakin baik dan berat badannya juga naik dan kini mencecah 9 kilogram (kg) berbanding 5 kg sebelum ini,” kata Norashikin Gzali, 32, ibu pesakit penyakit kegagalan fungsi hati (Billiary Atresia), Muhammad Fakrullah Rayqal Mat Tarmizi, 12 bulan.

Katanya, warna kuning pada tubuh dan mata anaknya juga hilang selepas menjalani pembedahan itu.

“Kini Muhammad Fakrullah Rayqal dapat menikmati kehidupan sebenar seperti kanak-kanak seusianya dengan ceria dan sihat.

“Walaupun perkembangan anak sedikit lewat, tetapi saya gembira melihat perubahan positif dirinya yang sudah mula bertatih untuk berjalan,” katanya.

Kisah kanak-kanak itu pernah disiarkan akhbar ini pada Januari lalu untuk mendapatkan sumbangan orang ramai kerana kekurangan wang bagi pembedahan yang kosnya dianggarkan RM160,000.

Pembedahan Muhammad Fakrullah Rayqal dilakukan pada 1 April lalu menerusi pemindahan hati daripada bapanya, Mat Tarmizi Zali, 39, di Hospital Renji, Shanghai, China.

Kakitangan awam itu yang menetap di Batu Pahat, Johor sebelum ini mengambil cuti tanpa gaji setahun untuk menjaga anaknya dan dijangka memulakan tugasnya pada Oktober ini.

Katanya, kos keseluruhan pembedahan anaknya ialah RM200,000 yang mana RM160,000 adalah sumbangan ramai dan bakinya daripada Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:24 AM