NOR Fitrah mengerjakan haji bersama adiknya Faisal di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my

Kelana Jaya: Seorang jurutera Nor Fitrah Mustafa, 28, bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah SWT tahun ini sekali gus membuatkan keinginannya menjadi Sahabat Tabung Haji (TH) bagi membantu jemaah semasa di Arafah tercapai.

Nor Fitrah berkata, dia sudah ke pejabat TH untuk mendaftar sebagai Sahabat TH di Tanah Suci namun tidak dapat berbuat demikian kerana proses itu dilakukan selepas sampai di Makkah.

“Sahabat TH ini adalah satu program sukarelawan membabitkan jemaah dalam membantu pengurusan jemaah haji Malaysia di sana.

“Jadi selepas mengetahui info mengenai Sahabat TH, saya sendiri berasa terpanggil menjadi sebahagian daripadanya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Nor Fitrah ke Tanah Suci bersama adik Faisal Mukminin Mustafa, 28, ibu dan bapa saudara Fatimah Azdiah Jaafar, 57, dan Ahmad Zamhuri Mahmud, 61.

Menurutnya, hanya dia dan ibu bapa saudaranya saja dipanggil pihak TH untuk mengerjakan haji tapi disebabkan tiada mahram, dia membuat rayuan untuk membawa adiknya bersama.

“Ibu bapa saya masih ada tapi sejak kecil saya dibesarkan oleh ibu dan bapa saudara kerana mereka tiada zuriat dan pada 2007 kami bertiga membuat pendaftaran haji bersama.

“Pihak TH menyarankan saya membuat rayuan untuk membawa mahram lain kerana bapa saudara adalah adik kepada emak saya dan tidak boleh menjadi wali, jadi saya berbincang dengan emak dan ayah untuk membawa adik sebagai mahram saya supaya tidak menimbulkan masalah di sana,” katanya.

Nor Fitrah berkata, pada mulanya dia mahu membuat rayuan untuk membawa emak dan ayahnya bersama tapi orang tuanya menolak kerana tidak mahu mengganggu giliran orang lain yang sedang menunggu.

“Lagipun, giliran emak dan ayah sudah tidak lama iaitu jangkaannya pada 2018 dan insya-Allah mereka akan pergi bersama abang.

“Mungkin ini adalah rezeki adik kerana saya sebenarnya ingin membawa abang sebagai mahram saya tapi dia sendiri sudah merancang untuk pergi bersama emak dan ayah,” katanya.

Menurutnya, sebagai jemaah muda dia berharap boleh membantu orang yang lebih berusia khususnya warga emas menyempurnakan ibadah haji dan sedia untuk berkongsi maklumat asas haji dengan jemaah lain.

“Walaupun ini kali pertama mengerjakan haji, kami akan cuba lakukan yang terbaik dan insya-Allah dengan ilmu yang ada boleh membantu jemaah lain.

“Selain itu, adik juga pernah menunaikan umrah dua tahun lalu dan pengalaman itu sedikit sebanyak boleh membantu kami mendapat gambaran awal keadaan di sana” katanya.

Mereka bertiga yang berasal dari Seri Manjung, Perak, antara 450 jemaah yang berangkat ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT 22.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 9:52 AM