ZUHAIRA bersama suami bermesra dengan Zara sebelum bertolak menunaikan haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Reaksi kanak-kanak Zara Khadeeja berusia tiga tahun yang gelisah dan menangis secara tiba-tiba seolah-olah mengerti dia akan ditinggalkan ibu bapanya selama sebulan.

Zara Khadeeja adalah anak pertama bagi pasangan Mohd Hafifi Isnan, 32, dan Zuhaira Nadia Zulkifli, 30.

Zuhaira berkata, walaupun sayu dan sedih untuk meninggalkan anaknya yang sentiasa ada di depan mata namun ini adalah satu pengorbanan bagi semua ibu bapa jika beranak kecil.

“Perasaan itu berbeza kerana ia membabitkan jarak yang jauh dan sebelum ini kami tidak pernah berpisah kerana saya suri rumah.

“Jadi dalam tempoh sebulan ini, Zara ditinggalkan bersama emak saya dan insya-Allah semuanya baik kerana pengorbanan itu dilakukan untuk beribadah kepada-Nya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Pasangan berkenaan ke Tanah Suci bersama Norhaziana Isnan, 31, dan Nornaziha Isnan, 29, bersama suaminya Mohd Faizal Yusof, 30.

Zuhaira berkata, dia yang bakal memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada Oktober ini sebelum ini tidak merancang untuk ke Makkah kerana tidak mempunyai pendapatan sendiri.

“Alhamdulillah, rezeki suami dan dua adik membuka peluang untuk saya menyertai mereka ke Tanah Suci pada musim ini.

“Suami segera membuat rayuan di pejabat Tabung Haji (TH) selepas mendapat panggilan hujung tahun lalu dan membantu saya dari segi kewangan bagi mencukupkan jumlah yang diperlukan untuk ke sana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hafifi berkata, jika diikutkan jangkaan, dia sepatutnya pergi ke Makkah pada 2011 kerana sudah mendaftar sejak 1998.

“Saya tidak kesal walaupun lewat hampir lima tahun kerana sebagai ketua keluarga saya boleh membawa isteri bersama.

“Dari segi persediaan, kami mengikuti kursus haji seperti jemaah lain dan melakukan senaman ringan untuk menguatkan tenaga untuk beribadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 9:08 AM