KEADAAN mangsa yang tercampak dari ketinggian 15 meter.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur : Seorang pekerja pembersihan syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) maut dalam keadaan mengerikan apabila mangsa dirempuh kereta sebelum tercampak jatuh dari jejambat setinggi 15 meter ketika bertugas.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, mangsa lelaki berusia 39 tahun itu maut serta merta di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), di sini.

Mayat mangsa yang memakai seragam Propel ditemui dengan kesan kecederaan parah di bahagian kepala selain mengalami patah tulang badan.

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa dilanggar kereta model BMW ketika melakukan kerja pembersihan lebuh raya.

“Kejadian berlaku di laluan menghala ke Ampang selepas susur Keramat. Mangsa tercampak jatuh dari jejambat pada ketinggian 15 meter.

“Kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan melanggar mangsa. Mayat mangsa warga Indonesia itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:38 AM