ANGGOTA polis dan JPAM mengangkat jenazah Haliza.
Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


Kangar: “Ibu tiada harta untuk diberikan kepada kamu, namun hanya ilmu yang ibu dapat berikan supaya kamu boleh berjaya nanti.” Itu antara pesanan dan perbualan terakhir seorang guru bahasa Inggeris, Haliza Hassan, 52, kepada anak tunggalnya yang masih belajar di sebuah sekolah menengah, sebelum ditemui lemas berhampiran Sungai Kampung Teluk, Jalan Tambun Tulang dekat Arau, semalam.

Mangsa ditemui penduduk kira-kira jam 8.20 pagi, tidak jauh dari rumahnya di Kampung Guar Sanji, Arau.

Anak tunggalnya, Muhsin Zahari, 16, berkata, kali terakhir dia berbual dengan ibunya, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin ketika mahu tidur.

Menurutnya, sebelum itu, dia sempat melihat ibunya menyiapkan pakaian untuk pergi mengajar pada keesokan selepas mengambil cuti sakit sehari.

“Ibu tidak banyak bercakap sejak akhir-akhir ini, namun malam tadi (kelmarin) dia sempat berpesan kepada saya supaya belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita menjadi doktor memandangkan saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

“Ibu juga jarang memarahi saya dalam apa juga perkara, malah sering memberi dorongan untuk belajar, tambahan pula dia juga seorang guru, malah ibu turut berpesan supaya saya menjadi seorang yang penyabar dan berusaha berdikari menjaga diri sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Katanya, dia menyedari ibunya sering bersendirian sejak kebelakangan ini, namun tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan ketara kerana arwah sering memberitahu mahu sentiasa ceria apabila berada di sekolah.

“Saya hanya menyedari ibu tiada di rumah ketika bangun untuk solat Subuh pagi tadi (semalam) kerana kebiasaannya ibu yang mengejutkan saya selain menguruskan perihal nenek yang turut tinggal bersama.

“Saya kemudian cuba mencari ibu di kawasan berhampiran tetapi gagal, malah saya yakin dia belum ke sekolah kerana kereta masih berada di rumah,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia menerima berita ada orang menemui mayat seorang wanita terapung di sungai berhampiran sebelum dia bergegas ke tempat kejadian dan mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah ibunya.

Difahamkan, ketika kejadian, suami mangsa Zahari Man, 61 yang juga abang kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man tiada di negeri itu atas urusan kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu selain tiada tanda-tanda berlaku sebarang kecederaan pada badan mangsa ketika ditemui.

“Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 12:34 PM