Noh (tengah) beramah mesra bersama peserta Program Straight A UPSR 2016 Parlimen Tanjung Karang.

Tanjung Karang: Lebih 200 murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat suntikan semangat dan panduan menerusi program ‘Straight A UPSR Parlimen Tanjung Karang’ di Institut Pengurusan Peladang, di sini, berakhir kelmarin.

Program dua hari anjuran Biro Pendidikan UMNO Tanjung Karang dengan Majlis Guru Besar Sekolah Kebangsaan dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor itu membabitkan penyertaan daripada 16 sekolah.

Selain memberi motivasi kepada murid, mereka mendapat pendedahan teknik belajar yang berkesan dan teratur oleh guru terlatih malah dibantu memantapkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelajaran.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor Marpuaton Sastero berkata, pihaknya sentiasa berusaha memartabatkan institusi pendidikan malah berharap murid tidak melupakan jasa pihak yang membantu mereka selepas berjaya kelak.

“Jika dilihat prestasi tahun lalu, hanya 36 calon daripada 16 sekolah berjaya mendapat semua A dan keputusan itu dianggap tidak begitu membanggakan.

“Kita berharap ibu bapa dapat bekerjasama dengan sekolah untuk memberikan motivasi dan perhatian kepada murid menumpukan sepenuh usaha untuk menghadapi peperiksaan yang bakal diduduki nanti,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program itu, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar merasmikan majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 12:15 PM