ABDUL Jalil (kanan) beramah mesra dengan sanak-saudara sebelum berlepas ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my

Kelana Jaya: Rasa tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap orang tua, pekerja swasta Mohd Norazrinizal Abdul Jalil, 28, sanggup meninggalkan anak yang berusia setahun dan isteri sedang hamil enam bulan.

Norazrinizal berkata, perasaannya bercampur antara gembira dan sedih kerana membabitkan keluarga namun tanggungjawab terhadap ayah, Abdul Jalil Ramlan, 77, dan emak, Biam Mat Yakim, 72, perlu diutamakan.

“Saya terpilih pun disebabkan oleh rezeki atau batu loncatan kerana menjadi pengiring kepada mak dan ayah yang sudah berusia dan ada masalah kesihatan.

“Pada mulanya hanya emak dan ayah dijemput ke Tanah Suci, tapi disebabkan ayah mengalami masalah asma yang kritikal, pihak Tabung Haji menyarankan mereka membawa anak sebagai pengiring,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ibu bapanya tidak pernah ke Makkah menunaikan umrah atau haji sejak mendaftar pada 2006 dan ini adalah kali pertama buat mereka bertiga.

“Saya belum merancang dan mendaftar lagi untuk ke sana kerana masih dalam proses menstabilkan ekonomi keluarga, tambahan lagi ada anak kecil dan isteri sedang mengandung.

“Bagaimanapun, saya anggap ini satu hikmah teristimewa kerana daripada sembilan adik beradik, saya yang terpilih lebih awal untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini,” katanya yang berasal dari Sekinchan, Selangor.

Norazrinizal berkata, dia segera mendaftar dan mengikuti kursus haji perdana yang diadakan oleh pihak Tabung Haji bagi mendapatkan pemahaman mengenai pelbagai perkara yang perlu dilakukan supaya mereka bertiga mendapat haji yang sempurna.

“Selain itu, saya juga mendapatkan ilmu dan pandangan daripada orang yang berpengalaman sebagai gambaran awal kerana dalam usia muda ini terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Bekalan ubat-ubatan bagi masalah penyakit ayah yang disarankan doktor pakar dibawa bersama dan berharap kerja ibadah kami dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 9:49 AM