PETUGAS Unit Bimbingan dan Ziarah membantu jemaah.

Jangan sesekali menggunakan risalah atau buku berkaitan sesuatu amalan yang tidak diiktiraf Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai rujukan ketika di Tanah Suci.

Ini nasihat daripada Unit Bimbingan dan Ziarah TH untuk semua jemaah haji Malaysia termasuk yang masih berada di tanah air.

Ia berikutan timbulnya khilaf atau perselisihan pendapat dalam cara ibadat jemaah dari pelbagai negara sedikit berbeza cara amalan mereka yang mungkin mengelirukan jemaah ketika berada di Tanah Suci.

Pengurus Ibadat Madinah Ustaz Mohamad Razali Zakaria sehubungan itu menasihatkan jemaah haji negara ini supaya merujuk kepada pembimbing ibadat haji yang dilantik TH jika berlaku khilaf atau ketidakfahaman dalam amalan ketika berada di Makkah atau Madinah.

“Ia penting bagi memastikan keseragaman hukum yang diputuskan Muzakarah Haji.

“Saya nasihatkan jemaah supaya mengelak daripada mendapatkan maklumat daripada buku atau risalah yang tidak diiktiraf TH.

“Sila gunakan risalah yang dikeluarkan Tabung Haji saja mudah-mudahan ini dapat membantu jemaah lebih fokus kepada ibadat haji,” katanya pada sidang media di Hotel Al Haram, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang lapan hari jemaah berada di sini, Unit Bimbingan dan Ziarah Madinah menyusun pelbagai program untuk mereka.

Katanya, ia termasuk khidmat bimbingan, ziarah Masjid Nabawi, ziarah luar, lawatan ke klinik serta khidmat lawatan petugas kebajikan dan perubatan.

Selain itu, beliau berkata, jemaah juga akan diberikan taklimat mengenai persediaan umrah dan pada hari terakhir berada di Madinah dan pihaknya akan mengaturkan program ziarah Wada’ sebelum jemaah berangkat ke Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:25 AM