KEADAAN lori yang remuk selepas dihempap pokok tumbang, semalam.
Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Ampang: Sebuah lori milik syarikat pengarah drama terkenal Erma Fatima remuk apabila dihempap pokok tumbang di hadapan kediamannya di Taman Melawati, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, lori itu diparkir di hadapan rumahnya selepas digunakan untuk memunggah barang ke Karnival Jom Heboh di Bukit Jalil.

Erma Fatima Rahmad, 48, ketika dihubungi berkata, kejadian itu disedari suaminya, Bade Azmi yang berada di rumah.

“Suami menghubungi saya dan memberitahu pokok tumbang menghempap lori yang diparkir di hadapan rumah,” katanya.

Kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu mengakibatkan lori syarikatnya remuk di bahagian penyimpan barang.

“Mujur tiada barang atau alatan penggambaran yang berada di dalam lori itu ketika kejadian,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur berikutan sebuah kereta yang turut diletakkan di hadapan rumah tidak mengalami kerosakan.

Katanya, kejadian itu turut mengakibatkan kawasan perumahannya terputus bekalan elektrik lapan jam.

“Kira-kira jam dua pagi tadi (semalam) barulah bekalan elektrik kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.10 petang dan sepasukan anggota JPAM dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati pokok menghempap sebuah lori.

“Anggota JPAMbertindak pantas dengan melakukan kerja pembersihan,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 10:37 AM