Pengunjung melawat pameran Johor Land Berhad pada pameran hartanah My Rumah II, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Bakal pembeli rumah selain pelabur yang hadir ke Pameran Hartanah MyRumah II berlangsung di Komtar JBCC di sini sehingga hari ini berpeluang meninjau prospek terbaik hartanah termasuk di Selangor.

Penolong Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Logeswaran Kannan berkata, buat julung kalinya, pihaknya menyertai pameran hartanah berkenaan selain menyediakan peluang kepada bakal pembeli yang berminat tanpa perlu ke Selangor.

Logeswaran berkata, pameran anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Kumpulan Andaman itu dilihat sebagai platform terbaik untuk PKNS memperkenalkan produk hartanah mereka kepada pengunjung.

“Walaupun PKNS tidak terbabit dalam sebarang projek di Johor namun kita melihat pameran ini antara pentas terbaik bagi kami memperkenalkan projek PKNS kepada pengunjung.

“Sambutan pengunjung juga menggalakkan kerana sebahagian besarnya dalam perancangan untuk membeli rumah di Selangor khususnya di Cyberjaya. Ini kerana mereka juga melihat Selangor berkembang pesat selain ramai yang berhijrah ke Selangor kerana bekerja di negeri berkenaan,” katanya ketika ditemui.

PKNS antara agensi yang terbabit sebagai pempamer pada Pameran Hartanah MyRumah selama tiga hari.

Lebih 20 penceramah dan pakar hartanah turut terbabit menyampaikan ceramah berkaitan tip serta kaedah pembelian hartanah selain perkongsian maklumat yang membantu orang ramai dalam pemilikan hartanah.

Logeswaran berkata, antara projek PKNS yang menjadi tumpuan pengunjung ialah Vega Residensi, kediaman pangsapuri servis 22 tingkat di Cyberjaya.

“Projek berkenaan bukan saja terletak di lokasi strategik malah ia juga mampu dimiliki dengan harga jualannya bermula daripada RM277,888,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:13 AM