DARI kiri, Abdul Rahim, Abd Latif, Kamaruzzaman, Abdul Jalil Hamid dan Dr Vincent Tiew pada Majlis Pelancaran My Rumah Property Showcasedi Komtar JBCC Johor Bahru.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yakin kerjasama dengan peneraju kediaman eksklusif dengan harga berpatutan di negara ini, Kumpulan Andaman Group mampu menjadikan NSTP sebagai peneraju media cetak dalam perundingan hartanah.

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abd Jalil Hamid berkata, Pameran Hartanah MyRumah II di Johor Bahru menampilkan penceramah dan pakar hartanah terkemuka yang akan berkongsi pandangan, tinjauan masa depan pasaran hartanah untuk 2016 selain tips, strategi pelaburan dan kewangan

“Pameran MyRumah II dianjurkan dengan hasrat menjadikan NSTP sebagai peneraju media cetak dalam perundingan hartanah di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Abdul Rahim Nin, Pengarah Urusan Andaman Group, Datuk Seri Dr Vincent Tiew dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corportation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Pameran yang masuk tahun kedua penganjurannya itu menampilkan pelbagai tawaran menarik daripada 14 pempamer dan penaja, di samping ceramah hartanah serta pelbagai aktiviti menarik lain.

Sebanyak 14 pempamer menyertai antaranya Meridian East (Mah Sing), Komtar JBCC, Sharp, LG Electronics, UDA Land, Andaman, Takaful Ikhlas dan NSTP. Pameran itu adalah platform terbaik bagi orang ramai mendapatkan maklumat terus dan tawaran hartanah terkini bagi merealisasikan impian memiliki rumah pertama.

Semalam, seramai sembilan penceramah dijemput bagi menyampaikan ceramah berhubung pelbagai topik berkaitan hartanah bermula jam 11 pagi hingga 8 malam yang berlangsung di ruang legar Komtar JBCC.

Antaranya, peguam komersil dan hartanah, Elizabeth Siew, Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd yang diwakili Adeline Chng, Dr Daniele Gambero dari REI Group and Companies serta Faiket Luari dari EMR Orion Quest Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:28 AM