Kuala Lumpur: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyokong cadangan meminda undang-undang bagi mengenakan tindakan terhadap ibu bapa yang cuai sehingga mengakibatkan kecederaan anak mereka ketika menggunakan eskalator.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohtar Musri berkata, cadangan itu mungkin wajar dilaksanakan dan disokong pihaknya selepas melihat semua kemalangan di eskalator berpunca daripada kecuaian ibu bapa atau penjaga.

“Kita tidak boleh mencadangkan undang-undang baru atau pindaan di bawah undang-undang sedia ada kerana ia bukan di bawah bidang kuasa JKKP.

“Namun, jika ada mana-mana agensi di bawah kementerian berkaitan yang boleh cadangkan, kita akan sokong kerana turut bimbang melihat situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Eskalator Peringkat Selangor 2016 di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia Franky Ho Kai Fatt dan Ketua Pegawai Eksekutif pusat beli-belah dan Taman Tema Sunway, H C Chan.

Mengulas lanjut Mohtar berkata, sejak 2011 hingga tahun ini, JKKP merekodkan 38 kes kemalangan di eskalator dan semuanya berpunca daripada kecuaian penjaga atau ibu bapa mengawasi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:22 AM
GURU tadika memberi penerangan kepada kanak-kanak mengenai langkah keselamatan ketika menggunakan eskalator sempena Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Eskalator Peringkat Selangor 2016 di pusat beli-belah Sunway Pyramid, semalam.