KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 72.9 Jalan Jerangau-Jabur dekat Bukit Besi.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: “Saya hanya mampu berdoa agar orang dalam kereta selamat ketika treler mengheret kereta terbabit,” kata M Zaidi Long, 37, selepas kenderaan berat dipandunya itu merempuh sebuah Proton Wira dalam kejadian di Kilometer 72.9, Jalan Jerangau-Jabur di depan Pusat Koreksional Bukit Besi, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8.10 malam itu menyebabkan pemandu kereta terbabit, Syed Roslim Syed Ahli, 26, yang berasal dari Batu 3, Kemaman maut di tempat kejadian.

M Zaidi berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar kelapa sawit dari Kemaman ke sebuah kilang di Ajil, Hulu Terengganu.

“Keadaan jalan ketika itu licin selepas hujan dan saya melihat kereta terbabit dari arah bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan saya.

“Saya cuba mengelak ke kanan jalan tetapi kereta itu berpusing dan masuk ke laluan saya, kenderaan kami kemudiannya bertembung sebaik kembali ke kiri laluan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, walaupun dia cuba membrek sekuat hati tetapi keadaan jalan yang licin menyebabkan trelernya mengheret kereta itu.

“Saya kemudiannya bergegas keluar dari treler sebaik ia berhenti dan mendapati hanya pemandu itu saja berada di dalam keretanya tetapi saya gagal menyelamatkannya kerana dia terperangkap dalam kenderaannya yang remuk,” katanya.

Syed Rostam, 30, abang kepada Syed Roslim yang tinggal di Ajil berkata, adiknya itu serta ibu bapanya pergi ke Pasir Putih, Kelantan sebelum itu dengan menaiki sebuah kereta lain untuk menghantar seorang lagi adiknya yang belajar di sebuah sekolah pondok.

“Apabila kembali dari menghantar adik di Kelantan, mereka semua menghantar saya saya di Ajil dan sempat berehat.

“Kira-kira jam 4 petang, arwah meminta kedua ibu bapa bertolak pulang ke Kemaman terlebih dahulu dengan kereta lain dan dia (Syed Roslim) akan pulang ke Kemaman kemudian kerana hendak bermain dan bermanja dengan anak-anak saya,” katanya.

Menurutnya, arwah kemudiannya bertolak pulang bersendirian jam 6.50 petang dengan memandu kereta itu yang baru seminggu dibelinya.

“Arwah membantu ibu dan ayah yang mengusahakan sebuah kedai makan di Kemaman dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum itu.

“Saya menerima panggilan dari seorang saudara kira-kira jam 9 malam yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 10:10 AM