myMetro

Putrajaya: Undang-undang pencegahan sedia ada dianggap mencukupi dalam usaha mengekang ancaman keganasan dan jenayah di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan undang-undang itu dan sebarang usaha mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu.

“Polis tidak perlukan ISA. Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA sudah mencukupi.

“Kami lebih selesa dengan akta baru ini dan kami yakin dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan dengan undang-undang ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Ketua-Ketua Polis ASEAN (Aseanapol) ke-36 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Sebelum ini bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor mencadangkan ISA dikembalikan bagi mengekang ancaman militan IS di negara ini.

Ia susulan IS dikesan menerbitkan akhbar berbahasa Melayu untuk menarik anggota baharu dari penduduk di rantau ini termasuk Malaysia.

Sementara itu, beliau memberi jawapan terhadap kebimbangan sesetengah pihak berhubung undang- undang pencegahan baru dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika disalah guna terhadap orang awam.

Menurutnya, polis akan memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.

Bagaimanapun, Khalid mengingatkan kepada penganjur perhimpunan di negara ini supaya patuh undang-undang sedia ada.

“Jika anda mahu anjurkan apa-apa perhimpunan, patuh kepada undang-undang sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 9:14 AM