SUSPEK curi ditangkap orang ramai di dalam sebuah bas ekspres.
Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas mencuri wang tunai dan barang kemas gagal apabila berjaya ditangkap orang ramai di dalam sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Tias di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 42 tahun itu dipercayai memecah masuk sebuah rumah serta melarikan wang tunai berjumlah RM1,500 dan barang kemas.

Difahamkan, penduduk kampung mengenali suspek cuba mengesannya sebelum menemuinya di dalam sebuah bas ekspres menghala ke Kuala Lumpur di sebuah stesen bas di sini.

Suspek kemudian dibawa keluar dan dibelasah oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi berkata, suspek diserahkan ke Balai Polis Laloh oleh orang ramai bersama barang dicuri.

“Ketika ditahan, wang tunai berjumlah RM323 dan barangan kemas dipercayai dicuri suspek turut ditemui. Malah, ketika siasatan dibuat, suspek mengaku terbabit dalam kejadian pecah masuk berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 9:50 AM
Skip this ad x