NURAINI dipenjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Tindakan kejam seorang nenek muda yang mendera cucu tirinya berusia empat tahun Ogos tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad apabila tertuduh, Nuraini Roslan, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai kanak-kanak perempuan yang juga cucu tirinya yang ketika itu berusia empat tahun menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu bersama suaminya yang juga datuk kepada mangsa, di sebuah rumah di Kampung Banggol, Setiu, antara Februari hingga 3 Ogos 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman.

Mengikut fakta kes, kejadian menimpa kanak-kanak malang terbabit disedari 3 Ogos 2015 ketika mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh bapa saudaranya bagi mendapatkan rawatan.

Ketika itu, petugas hospital di zon kuning HSNZ mendapati mangsa cedera kerana didakwa terjatuh ketika bermain.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama serta baru di tubuh mangsa.

Pihak hospital mengesyaki mangsa didera secara fizikal dan bapa saudara yang menghantar mengakui perkara itu serta memaklumkan dia diminta membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh datuknya.

Sebelum ini, pada Disember tahun lalu, suami Nuraini yang juga datuk kepada mangsa dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah atas pertuduhan sama.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai menjadi mangsa dera nenek tiri berikutan beberapa kesan kecederaan pada badan dan mukanya termasuk bengkak mata kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:41 AM