SEBAHAGIAN tetamu dan saudara baru menikmati juadah.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: “Hampir saban malam saya bermimpi lambaian pintu syurga sebelum mengambil keputusan memeluk Islam,” kata mualaf, Daniel Ikram Soon, 32.

Dia yang memeluk Islam empat tahun lalu berkata, mimpi itu dialaminya selama hampir sebulan sebelum bertanyakan rakan beragama Islam.

Menurutnya, dia menonton beberapa drama dan ceramah di televisyen sebelum mendapat jawapan bahawa dia diberi hidayah mendalami agama Islam.

“Saya berjumpa dengan pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuantan dan mula mempelajari Islam sebelum mengambil keputusan mengucap dua kalimah syahadah.

“Menjadi seorang Muslim, saya berasa semakin tenang dan damai walaupun ahli keluarga terutama ibu bapa memberi tentangan hebat, namun kini mereka menerima saya,” katanya di Majlis Mesra Aidilfitri Bersama Saudara Muslim, Serumpun Kemesraan, Seikat Perpaduan, Semarakkan Lebaran di sini, semalam.

Dalam majlis itu, 200 saudara baru berkumpul dan beramah mesra memperkukuhkan tali silaturahim.

Menurutnya, dia pulang ke Kota Bharu sejak tiga bulan lalu kerana mengikut isterinya, Nur Anira Safira Mohd Noor, 19, dan kini mencari pekerjaan.

Dia yang mempunyai kemahiran dalam bidang elektrik berharap ada pihak sudi mengambilnya bekerja kerana perlu membeli keperluan menyambut kelahiran bayi sulung dua bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:49 AM