AIMAN dan Aisyah (tengah) mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Bukit Sekilau.
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


Kuantan: Rasa cinta terhadap Islam dan keinginan mempelajari lebih mendalam agama itu membuka hati pasangan warga Vietnam, Aiman Quy’et, 34, dan isteri, Aisyah Cuu, 29, memeluk Islam.

Aiman yang terbuka hatinya memeluk Islam tahun lalu berkata, dia tertarik pada agama itu kerana sikap masyarakat sekeliling yang baik ketika dia mula berhijrah ke daerah ini.

“Kehadiran saya ke Malaysia untuk mencari rezeki dan tidak menyangka diterima baik penduduk di Bukit Sekilau, di sini.

“Itu membuatkan saya memeluk Islam. Tambahan pula ibu angkat, Fuziah Omar, 61, banyak mengajar saya selok-belok agama Islam. Bila peluk Islam hati saya tenang,” katanya ketika ditemui selepas menemani isterinya mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Bukit Sekilau disaksikan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang Datuk Halidan Md Daud.

Aiman berkata, agama Islam memberinya ketenangan selain menyebabkan hidupnya lebih teratur berbanding sebelum ini.

“Saya sudah boleh membezakan antara perkara penting dan remeh apabila mula menghambakan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Aisyah berkata, sebelum ini dia banyak membaca buku mengenai agama Islam, mendengar ceramah dan bimbingan daripada ibu angkatnya.

“Apabila orang bercerita mengenai Islam saya berminat dan terus ingin mendalami ajaran agama suci ini,” katanya.

Katanya, walaupun tidak berpeluang berpuasa pada Ramadan lalu, tetapi dia yakin mampu melakukan ibadat wajib itu jika diberikan kesempatan pada tahun depan.

“Sebelum memeluk Islam, saya umpama tiada agama dan merasakan satu kekurangan dari segi kerohanian serta tidak tahu erti kehidupan.

“Namun, segalanya berubah apabila saya memeluk agama suci ini dan kini saya bukan keseorangan, malah suami saya sentiasa berada di sisi saya setiap masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 10:32 AM