DR Subramaniam (dua dari kiri) mengadakan lawatan rasmi ke Unit Penyaringan Tradisional dan Suplemen Kesihatan pada Majlis Perasmian NPRA di Petaling Jaya, semalam.
Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji bakteria yang menjadi penyebab difteria susulan berlakunya 15 kes pada tahun ini terutama bagi memastikan vaksin yang diberikan sebelum ini benar-benar memberi perlindungan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, setakat ini strain bakteria penyakit itu didapati sama dengan bakteria sebelum ini dan penerima vaksin terbabit sepatutnya menerima perlindungan sehingga 95 peratus.

Namun, katanya, penularan kes difteria yang berlaku ketika ini bukan perkara baru kerana penyakit itu kadangkala dikesan dalam skala kecil dalam kalangan kelompok yang tidak mendapat imunisasi berkenaan.

“Kita memandang serius terhadap perkara ini dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah mengambil sampel dan menjalankan kajian terhadap bakteria penyakit difteria.

“Kita ingin melihat sama ada bakteria itu sama atau berbeza dengan bakteria sebelum ini. Namun, setakat ini bakteria itu sama dan ia bermakna vaksin yang diambil sebelum ini sepatutnya memberi perlindungan sekarang,” katanya selepas merasmikan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Regulatori Farmasi NPRA, Dr Salmah Bahri.

NPRA yang sebelum ini dikenali Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ditukar nama secara rasmi semalam, selain memperluaskan skop kawalan kualiti dan keselamatan ke atas produk termasuk produk preskripsi dan bukan preskripsi, ubat tradisional, kosmetik, veterinar, bahan aktif farmaseutikal (API) dan seterusnya kawalan ke atas produk vaksin.

Harian Metro semalam melaporkan terdapat satu lagi kes terbaru disahkan difteria membabitkan suri rumah berusia 41 tahun sekali gus mangsa pertama dalam kalangan dewasa untuk tahun ini.

Pesakit terbabit mengalami demam pada 11 Julai lalu dan mengadu tonsil membengkak, serak suara dan sukar menelan serta mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai.

Selain itu, Dr Subramaniam berkata, kes difteria yang berlaku di Malaysia masih dalam keadaan terkawal kerana hanya sekitar lima peratus yang mempunyai risiko mendapat difteria.

“Saya masih percaya, mereka yang menerima vaksin itu masih dilindungi daripada difteria. Mengenai kes terbaru itu, mangsa memaklumkan dia pernah mendapat vaksin namun kita perlu mengesahkannya berdasarkan rekod perubatannya.

“Bagi yang lupa sama ada mereka pernah menerima vaksin atau tidak, kita nasihatkan mereka divaksin dan kita akan teruskan proses ini di klinik kesihatan seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 6:56 AM