ORANG ramai menaiki tren laluan baru Sentul Timur ke Putra Height
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Murah, selesa dan menjimatkan masa.

Itu pengalaman yang diceritakan pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Petaling yang mula beroperasi secara rasmi, semalam.

Pengguna laluan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sri Petaling-Ampang, kini boleh menikmati perjalanan terus antara Sentul Timur dan Putra Heights serta tidak lagi beroperasi secara berselang-seli dengan tren ke Ampang.

Usahawan, Muhammad Nazmi Abdullah Sani, 34, berkata, meskipun diperkenalkan sebagai laluan baru namun harga yang dikenakan sangat berbaloi dan menjimatkan berbanding menaiki kereta.

“Harga tiket perjalanan dari Sri Petaling ke Putra Height hanya RM4.20 dalam masa 35 minit, jika naik kereta mungkin sudah mencecah lebih RM10 dengan kadar minyak dan tol.

“Selain murah, naik LRT tak perlu berhadapan dengan tekanan kesesakan trafik dan kita boleh menganggarkan masa untuk sampai ke destinasi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pengguna, Nor Fazliana Nor Azmi, 32, berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan laluan yang baru itu kerana tidak lagi perlu bertukar-tukar stesen seperti sebelum ini.

“Lebih jimat masa dan wang. Sebelum ini saya bertukar-tukar LRT dan menaiki bas untuk pergi ke rumah kakak dan tempat kerja. Tambang lebih mahal dan kadangkala bas tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

“Pembinaan LRT laluan ini wajar dilaksanakan kerana ia melalui stesen yang menjadi tumpuan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, Laluan Petaling yang mula beroperasi semalam itu bukan sahaja mudah dan lancar malah menjimatkan.

“Perkhidmatan LRT ini murah kerana perjalanan antara Sentul Timur dan Putra Height dengan jarak 37 kilometer hanya dikenakan RM3.50 sahaja dengan menggunakan pakej MyRapid SMART 30.

“Untuk mereka yang mempunyai kad konsesi seperti warga emas, pelajar dan golongan kurang upaya, bayaran tambang adalah RM2.40 sahaja,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan perjalanan penuh Laluan Petaling akan melalui 29 stesen termasuk kawasan Puchong, Kinrara, Sri Petaling, Bukit Jalil, Sungai Besi, Bandar Tasik Selatan, Cheras, pusat bandaraya dan Sentul yang mengambil masa 65 minit bagi perjalanan satu hala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 10:55 AM